Tuesday, December 13, 2011

JIWA YANG BERSIH

Jiwa yang bersih merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk membentuk sahsiah atau keperibadian yang mulia. Pembentukan jiwa yang ditekankan di dalam Islam ialah pembangunan yang memfokuskan terhadap usaha mendekatkan hubungan seseorang dengan penciptaNya iaitu Allah s.w.t. melalui amalan (Ibadah Qalbiyyah). Perkara ini dapat melahirkan seseorang itu bersedia untuk tunduk dan patuh pada setiap suruhan atau tegahan dari Allah. Dengan ini dapatlah mehirkan seseorang itu kepada penghayatan terhadap keperibadian yang mulia melalui amalan zahirnya. Bertepatan dengan maksud sahsiah itu sendiri sepertimana yang disebutkan oleh Imam al Gahzali dalam bukunya Ihya’ Ulum al Din iaitu, sahsiah ialah aspek-aspek yang saling mempengaruhi antara-antara sifat-sifat dalaman dan luaran. Ia bermaksud merangkumi aspek luaran iaitu tingkah laku yang dijelmakan dari sifat dalaman yang meliputi aspek emosi, sikap, motivasi dan sebagainya.  Dalam erti kata lain, tingkah laku jasad menggambarkan sifat rohani seseorang.
            Terdapat beberapa faktor yang boleh mendorong kepada jiwa yang bersih. Antaranya ialah;

3.1       Hati
Hati adalah raja bagi organ tubuh manusia dan organ tubuh badan manusia adalah rakyat bagi hati. Perkara ini boleh diumpamakan bahawa baik atau sebaliknya rakyat ditentukan oleh baik atau sebaliknya bagi raja. Jika raja sesebuah negara itu tidak memainkan peranan yang sepatutnya terhadap rakyat, maka sesebuah negara itu akan hancur. Begitu juga sebaliknya, jika raja pada sesebuah negara itu telah memainkan peranan yang sepatutnya terhadap rakyat, maka akan amanlah sesebuah negara itu. Dengan ini dapatlah dilihat bahawa hatilah yang akan memainkan peranan yang besar dalam membentuk jiwa yang bersih, seterusnya dapat melahirkan keperibadian yang mulia.


Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda yang bermaksud;
Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasanya dan apabila ia rosak, maka rosaklah pula seluruh jasad, ketahuilah itulah hati.
            Melalui hadis ini, dapatlah kita lihat betapa besarnya peranan hati dalam menentukan corak kehidupan. Hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi serta jati diri seseorang sama ada sebagai seorang yang soleh mahupun sebagai seorang yang thalih. Malahan hati juga dianggap sebagai agen penentu kepada hidup dan matinya hati manusia. hatilah tempay bertapaknya iman, ketakwaan, sifat mamudah. Di dalam hati juga terletaknya kekufuran dan sifat mazmumah yang lain.
            Di dalam al-Quran telah banyak membicarakan mengenai hati terutamanya hati yang bersih dan suci dari sebarang dosa dan noda. Hati yang bersih dan suci itulah yang hati yang diterangi dengan cahaya Illahi dan tidak ada sedikit pun perasaan keraguan dan kesyirikan dalam hatinya terhadap Allah. Hal ini akan meyakinkan seseorang itu bahawa segala yang ada di dalam alam semesta ini diciptakan oleh Allah sekaligus bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas sekalian alam ini.
            Hati yang bersih juga adalah hati yang terhindar dari segala penyakit hati seperti dendam, dengki, fitnah dan lain-lain lagi sifat yang tercela. Orang yang hatinya bersih adalah kerana di dalam hatinya telah dipenuhi dengan iman, hidayah serta ketakwaan kepada Allah s.w.t. Di dalam hatinya juga sarat dengan kecintaan, kataatan dan ketundukan kepada Allah. Justeru, hati ialah tempat bertapaknya nilai-nilai kebaikan seperti kusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf serta sifat-sifat mahmudah yang lain.
            Hati yang berpegang kuat dengan tali Allah, tidak akan terlibat dengan pekerjaan yang dikutuk Allah. Manakala hati yang tidak mahu menurut segala perintah Allah adalah hati yang telah menderhakakan Allah. Di sini, perlulah diingat bahawa apabila hati ingin menurut segala perintah Allah, maka segala anggota tubuh badan kita akan bergerak sama, seiring dengan kata hati kita. Dari sini, lahirlah hati yang mempunyai syariat yang tinggi dalam membersihkan jiwa agar jiwa dapat membentuk keperibadian mulia terhadap seseorang.

3.2       Akal
Allah telah menciptakan akal supaya dapat membezakan antara manusia dengan makhluk yang lain. Terdapat banyak fungsi akal dalam membentuk jiwa yang bersih, seterusnya dapat melahirkan keperibadian yang mulia terhadap seseorang. Tetapi sayangnya, masyarakat kita kebanyakannya hari ini tidak mahu membezakan antara yang hak dengan yang batil melalui akal fikiran yang waras. Mereka sering menggunakan akal dalam keadaan yang tidak stabil untuk membuat sesuatu keputusan. Hal ini menyebabkan mereka telah memutuskan sesuatu keputusan dengan keadaan yang melulu tanpa merujuk kepada al-Quran dan hadis.Perkara inilah yang menjerumuskan seseorang terhadap jiwa yang kotor, seterusnya membentuk kepada keperibadian yang dicela Allah.
            Oleh itu, makanan akal ke arah membentuk jiwa yang suci adalah ilmu yang berfaedah. Dengan ilmu inilah yang akan membantu akal fikiran dalam membuat sesuatu keputusan tanpa mengikut nafsu semata-mata. Dengan berpandukan pengalaman, seseorang itu akan membuat keputusan dengan mengikut pengalaman tersebut dengan berpandukan akal fikiran yang betul. Melalui pengalaman itu, manusia akan berfikir kembali apakah kewajaran mereka dalam melakukan sesuatu mengikut kehendak nafsu mereka semata-mata atau sebaliknya.
            Akal merupakan ketua segala pergerakan. Perkara ini adalah kerana selepas hati menyatakan ingin melakukan sesuatu, akal akan bertindak dengan membuat keputusan yang betul. Setelah kata putus tercapai, segala anggota badan akan bertindak dengan berpandukan akal fikiran mereka. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah s.w.t. yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi, dan gunung-ganang. Dengan perpandukan wahyu daripada Allah s.w.t., manusia telah diamanhkan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.


3.3       Nafsu
Pernah dikatakan bahawa melawan nafsu adalah jihad yang paling besar daripada jihad dengan berperang melalui pedang. Makna kata di sini, melawan nafsu bukanlah perkara yang dianggap senang. Ini adalah kerana nafsu itu satu perasaan yang hadir dalam diri, ia mengalir bersama darah di dalam badan yang banyak mendorong manusia ke arah ke maksiatan. Perkara ini menyebabkan manusia terlalu sukar untuk mengawalnya. Akan tetapi  jika kita berjaya mengawalnya, maka terhindarlah diri daripada segala kemaksiatan.
            Nafsu bukanlah sesuatu yang tidak dapat dikawal langsung. Jika seseorang itu selalu ingat akan balasan dan janji-janji Allah pada setiap amalan yang kita lakukan, pasti diri seseorang tidak akan melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu semata-mata. Perkara ini adalah kerana nafsu dapat dikawal melalui akal fikiran. Melalui akal fikiran inilah yang akan dapat menjinakkan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar. Nafsu jahat dapat dikenal melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Dalam ilmu tasawuf, nafsu jahat dan liar itu dikatakan sifat mazmumah. Di antara sifat-sifat mazmumah itu ialah sum'ah, riya', ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, terlalu banyak berkata-kata, banyak makan,  dengki, ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, pemarah, tamak, serakah, bakhil, sombong dan lain-lain. Sifat-sifat itu melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita malas menggosok sifat itu akan semakin kuat dan menebal pada hati kita. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan kuat menggosoknya maka hati akan bersih dan jiwa akan suci.
            Jadi seseorang itu mesti sanggup melawan hawa nafsu. Kalau tidak, banyak ajaran Islam yang terabaikan, banyak perintah ALLAH yang dilalaikan. Bila tidak dapat melawan hawa nafsu, banyak larangan ALLAH yang akan terbuat. Jadi hanya dengan melakukan mujahadatunnafsi, barulah ajaran Islam itu dapat kita amalkan sungguh-sungguh dan barulah maksiat lahir dan batin dapat kita tinggalkan, karena nafsu yang sangat menghalang itu sudah tidak ada lagi. Nafsu itu sudah kita didik, sudah kita kalahkan, dan sudah menjadi tawanan kita.

Hasil perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa jiwa yang bersih adalah asas kepada lahirnya peribadi yang mulia. Kebersihan jiwa penting bagi umat Islam bagi melahirkan dirinya insan yang bertakwa kepada Allah. Ia dilakukan dengan membersihkan jiwa daripada kesan dosa dan noda akibat daripada perbuatan maksiat iaitu dengan cara bertaubat serta membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Membersihkan jiwa daripada sifat terkeji adalah separuh daripada iman. Untuk membersihkan jiwa daripada sifat keji, perlulah menjauhi segala penyakit hati”.
(Hadis riwayat al-Imam Muslim)
          Jelaslah bahawa dengan iman, kita dapat membersihkan jiwa kita daripada segala sifat tercela dan dapat menamkan dalam diri segala sifat terpuji. Dalam hal ini, Allah mengingatkan kita bahawa hati dan nafsu selalu mengajak ke arah kejahatan sehingga akal sukar membezakan antara hak dengan yang batil. Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Jika hati sudah dikuasai dan ditawan oleh syaitan, maka manusia tidak lagi ikut perintah Allah dan rasul-Nya. Mereka dengan mudah mengikut telunjuk dan kehendak nafsu syaitan. Nafsu syaitan mahu mencorakkan hati manusia dengan sifat tercela atau mazmumah. Apabila sifat ini berputik dan bertapak pada hati manusia, maka syaitan akan memperalatkan nafsu melakukan apa saja yang disukainya. Maka akan timbullah segala penyakit hati.
            Oleh itu, umat Islam perlulah menguatkan iman mereka dengan selalu memperbaiki hati, akal dan nafsu mereka daripada terjerumus ke arah kejahatan. Perkara ini adalah kerana ketiga-tiga elimen jika terlalu lama dibiarkan tanpa berusaha untuk mengajak ke arah kebaikan seperti dengan banyak menyebut nama-nama Allah, memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran serta aluanan zikir yang lain, sekaligus akan menyebabkan peribadi serta tingkah laku seseorang itu menjadi sumbang pada pandangan Islam.

No comments:

Post a Comment